Rabu, 30 Disember 2009

Lelaki luah perasaan tanpa kata-kata

ANDA mungkin antara wanita bertuah. Cantik, berjaya dan hidup mewah kerana memiliki kerjaya hebat. Kalau sudah berkeluarga, anda bagaikan menghampiri kesempurnaan kerana dianugerahi suami penyayang serta dilimpahi kemewahan. Ringkasnya, apa lagi yang anda dambakan dalam hidup kerana semuanya sudah dimiliki.

Percaya atau tidak, jika pada zahirnya anda kelihatan sempurna, hakikatnya dalam hubungan bersama suami, masih banyak kekurangan diri yang perlu diperbaiki.

Hubungan dengan suami atau teman lelaki ada ketikanya melalui fasa agak sukar kerana berlaku salah faham, kurang prihatin atau silap tanggapan terhadap sesuatu perkara.

Ia mungkin nampak kecil hanya disebabkan wanita kurang memahami suami atau teman lelaki atau mungkin, suami atau teman lelaki yang tidak faham naluri dan kehendak wanita.










Dalam hal ini, ada sesuatu harus dipelajari kedua-duanya untuk mencapai persefahaman. Panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk lebih memahami pasangan:





Wanita suka melihat sesuatu perkara remeh bagi lelaki itu sebagai perkara besar, contohnya soal pilih gerai makan.

Wanita cerewet memilih gerai makan sehingga suka tarik muka jika gerai itu tidak berkenan di hati, sedangkan lelaki anggap soal makan agak mudah, boleh makan di mana saja.


Wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak memikirkan perkara penting.


Wanita suka diberi perhatian dan ada kalanya manja tidak bertempat. Sikap ini menyebabkan mereka 'syok sendiri' dan suka dipuji. Jika tidak dipuji mereka mungkin merajuk.


Ada wanita terlalu perasan dan mudah menjeruk perasaan kerana sering mengharapkan lelaki memahami mereka sedangkan mereka tidak mahu memahami lelaki.


Lelaki tidak suka menunjukkan perasaan mereka melalui kata-kata, tetapi hanya memerhati. Wanita harus terima hakikat itu.


Ada wanita suka membeli-belah terlalu lama hingga membosankan lelaki, menyebabkan lelaki malas dan tidak beri perhatian pada sikap wanita yang suka menghabiskan masa untuk tujuan itu.


Ada wanita terlalu banyak cakap mengenai diri orang lain dan mudah ke arah 'mengata dan mengutuk' jika dilayan kata-kata mereka, ini menyebabkan lelaki suka berdiam diri.


Lelaki lebih suka menyuarakan perasaan hati mereka melalui perbuatan dan bukan perkataan.


Lelaki suka berdiam diri dan tidak suka bising, tetapi tidak bermakna mereka tidak prihatin kepada anak dan isteri.


Suami tidak suka diperintah, dikongkong dan dikawal. Jika isteri atau teman wanita melakukan 'kawalan' kepada lelaki, dia akan bosan dan tidak akan memberi perhatian kepada apa juga permintaan wanita.


Adakalanya wanita kurang bijak menunjukkan kasih sayang kepada suami, tetapi hanya mengharapkan suami memberi kasih sayang.


Jangan terlalu bergantung pada suami dan teman lelaki pada perkara yang mampu wanita lakukan, tetapi ada pula wanita yang suka bergantung harap sangat kepada suami dengan tujuan suami sentiasa berada di sisi mereka. Ini mungkin tidak digemari suami atau teman lelaki.


Wanita mesti memahami diri mereka sendiri dan peranan mereka serta mengubah perangai mengikut peringkat umur dan keperluan.

Jika masih muda elok juga merajuk, tetapi jika sudah mempunyai anak ramai dan berusia, elakkan perbuatan itu kerana ia tidak memberi faedah.


Sesetengah wanita suka bertanya itu dan ini kepada suami atau teman lelaki, tetapi tidak suka kepada jawapan diberikan mereka. Ini membuatkan suami atau teman lelaki bosan melayan soalan wanita.


Wanita tidak perlu menunjuk-nunjuk kecantikan, kepandaian dan kekayaan mereka. Kelebihan itu mungkin memperbodohkan lelaki sehingga mereka tidak berminat melayan kerenah wanita sedemikian.


petikan dari harian metro

Resipi Hati Lara

Bahannya (untuk hidangan 4 orang):

1/2 kilogram hati lembu

1/2 kilogram limpa lembu

1/2 kilogram daging batang pinang

1/2 kilogram paru



Bahan dikisar:

20 tangkai cili kering

10 tangkai cili padi

20 ulas bawang merah

5 ulas bawang putih

1 inci lengkuas

1 inci halia

4 batang serai



Bahan tumis:

1 cawan rempah Bukhari

1/2 cawan rempah beriani

1 cawan kerisik

3 helai daun kunyit (mayang halus)

2 kiub pati ayam

1 biji kelapa (jadikan santan semangkuk atau boleh guna susu rendah lemak)

1 buku gula Melaka



Cara memasak:



Daging, paru, hati dan limpa direbus terlebih dulu dalam api perlahan dan simpan air rebusan.


Panaskan minyak untuk menumis.


Masukkan bahan kisar.


Goreng hingga pecah minyak.


Masukkan semua bahan (rempah) dan reneh sampai masak.


Masukkan kerisik, santan dan tambah sedikit air serta daun kunyit yang dimayang.


Masukkan gula merah, kacau dan hidangkan.


petikan dari harian metro

10 jenis lelaki perlu dijauhi

SUKARKAH mencari teman yang serasi, memahami, melimpah kasih sayang dan penuh pengertian?

Ada kemungkinan menemui insan sedemikian, namun mungkin sukar untuk kekal menjadi kekasih setia.

Mungkin juga ramai wanita sanggup membujang sampai ke tua disebabkan kebanyakan teman lelaki yang didampingi tidak mendahulukan kejujuran dalam perhubungan.

Justeru, wanita menjadi keras hati dan seterusnya mahu hidup membujang selama-lamanya kerana sasaran untuk mendapatkan lelaki yang terbaik semakin sukar.










Barangkali juga ada wanita yang sudah mempunyai seseorang untuk dijadikan sandaran masa depannya. Namun, pada masa sama, lelaki itu pula ramai teman wanita malah hanya mahu berfoya-foya, lantas dia bukanlah pilihan terbaik.




Terdapat juga segelintir wanita yang bahagia jika memperoleh lelaki jenis yang dimaksudkan - prihatin, simpati, romantis dan menepati apa yang dicari selama ini.

Sebenarnya dalam dunia ini, ada pelbagai rupa lelaki sama ada berhidung belang, si buaya darat mahupun si kaki kikis yang nyata menyusahkan hidup.

Renungkan sedikit panduan berikut untuk membantu anda mencari pasangan. Wanita perlu berhati-hati dengan 10 jenis lelaki yang disenaraikan ini:



Lelaki yang sering berkata: "Abang memang sayang kepada sayang, tetapi abang belum bersedia untuk hubungan yang serius".

Bayangkan jika ada kaum Adam yang meluahkan kata-kata sedemikian sedangkan anda sudah menjalin hubungan lebih lima tahun dengannya.

Ini bermakna anda bukanlah orang yang diharapkannya malah barangkali, anda tidak pernah ada dalam kamus hidupnya untuk dijadikan calon suri hidupnya.


Lelaki yang sering menghubungi atau menghantar pesanan ringkas (SMS) tanpa mengira waktu.

Dia akan mengeluarkan kata-kata manis apabila benar-benar memerlukan dan anda pula sekadar dijadikan alat untuk menghiburkan dirinya. Tetapi apabila anda memerlukannya, dia langsung tidak muncul. Beginikah lelaki yang anda harapkan sanggup bersusah senang bersama?


Lelaki yang suka mengajak anda keluar seolah-olah teman tetapi mesra.

Anda berdua bagai merpati dua sejoli, makan malam bersama, tengok matahari terbenam di tepian pantai berdua malah ke majlis kenduri-kendara pun tidak pernah berenggang.

Sekali pandang ramai yang pasti mengatakan anda berdua pasangan paling sepadan. Namun, pada lelaki terbabit, tidak terdetik pun di ruang hatinya yang kosong itu mahukan anda mengisinya. Jadi, jangan membuang masa.


Lelaki yang sudah ada kekasih hati, tetapi tetap mahukan anda. Ini adalah jenis lelaki yang paling banyak spesiesnya. Mereka mempunyai ramai teman wanita dan mahu memiliki seramai mungkin untuk memenuhi nafsunya.

Jika pernah terserempak dengannya bermesra dengan wanita lain, lalu siapakah anda di hatinya?


Lelaki yang sering berfikir apa yang dilakukannya semua betul sedangkan pandangan anda semuanya salah.

Ketika menjalin hubungan dengannya, anda sering ditengking kononnya anda saja yang bersalah pada hal kesalahan itu kecil dan tidak perlu diperbesarkan.

Bagi dirinya, anda tidak berhak menegur dirinya yang dianggap serba-serbi ada kelebihan.


Lelaki yang naif dan seolah-olah mementingkan dirinya semata-mata. Contohnya, lelaki yang tidak faham kehendak wanita walaupun anda sudah berterus terang mengenai sesuatu, tetapi dia tidak pernah ambil pusing.

Dia sering menganggap semua perkara remeh dan selalu ambil mudah mengenai sesuatu perkara.


Lelaki yang tidak tahu kehendak sendiri. Kalau dia tidak faham kehendak sendiri, apakah anda fikir dia akan faham masalah anda apabila melayari hidup berdua kelak?


Lelaki yang selalu mengganggu anda. Walaupun sudah diberitahu terlalu sibuk, dia tetap tidak mempedulikan keadaan anda.

Jika boleh, dia ingin berkepit sentiasa dengan anda tidak kira siang atau malam. Bahkan, anda bosan dengan deringan telefonnya yang benar-benar mengganggu ketenangan diri.

Ada masalah yang remeh pun hendak diberitahu, menghantar SMS atau menelefon anda. Lama-lama anda rimas dan lemas.


Lelaki yang suka mengutuk lelaki lain dengan harapan anda tidak akan mendekati lelaki yang dikutuk itu.

Hakikatnya, dia seorang yang kuat cemburu dan anda di bawah pengawasannya. Padanya, lelaki lain langsung tidak boleh mendekati anda. Bolehkah anda hidup dengan lelaki yang cemburu setiap masa?


Lelaki yang tidak dapat memberi layanan yang betul untuk seorang wanita. Lagipun anda tidak nampak ciri kepimpinan yang ada padanya apatah lagi untuk menyandarkan seluruh harapan dan hidup anda padanya.

Katakan selamat tinggal saja jika akhirnya membuat anda kecewa dan merana.


petikan dari harian metro

Selasa, 22 Disember 2009

Kerabu obor-obor

Bahannya:

200 gram obor-obor

2 batang serai

4 biji cili padi

1 biji bawang merah

4 batang daun ketumbar

2 sudu sos cili

1 sudu gula

1 sudu sos ikan

2 sudu jus limau nipis



Cara membuatnya:

1. Obor-obor dipotong kecil dan dicuci hingga bersih.

2. Masak air hingga mendidih dan celur obor-obor berkenaan selama 10 saat saja. Kemudian, angkat dan rendam dalam air selama satu jam.

3. Hiris serai, cili padi, bawang merah dan daun ketumbar.

4. Masukkan semua bahan tadi ke dalam mangkuk dan gaul hingga sebati. Biarkan di dalam peti sejuk selama satu jam.

5. Selepas itu toskan airnya dan sedia untuk dihidangkan.



Tip Chef Harun untuk menyimpan obor-obor lebih lama:



Selepas dibersihkan dan dicelur selama 10 saat, masukkan obor-obor berkenaan ke dalam air sejuk dan simpan dalam peti sejuk.


Air rendaman perlu ditukar sekurang-kurangnya seminggu sekali.


Pastikan bekas digunakan untuk membasuh serta menyimpan obor-obor bebas daripada minyak kerana bahan berkenaan boleh menyebabkan obor-obor cepat rosak.


Sekiranya obor-obor dijaga dengan betul, ia boleh disimpan sehingga berbulan-bulan lamanya.

petikan dari harian metro

Masak lemak ayam cili padi

Bahan:

1 ekor ayam

3 biji cili merah

2 batang serai

1 labu bawang besar

1 keping asam gelugur

1 1/4 biji kelapa atau 1 paket santan serbuk (1 biji diambil santan, 1/4 biji dijadikan kerisik)

20 cili api atau cili kering pedas

2.5 sm kunyit hidup

Garam secukup rasa



Cara membuatnya:



Ayam dipotong mengikut cita rasa.


Cili api, cili merah dan kunyit hidup ditumbuk hingga lumat, serai dititik serta bawang besar dimayang halus.


Masukkan ayam dan bahan yang sudah ditumbuk ke dalam periuk berserta bawang yang sudah dimayang, serai dan santan.


Masak hingga mendidih. Masukkan pati santan, asam gelugur dan kerisik, kacau hingga rata.


Apabila ayam sudah empuk, masukkan garam secukup rasa.


Siap untuk dihidang.


petikan dari harian metro

gamberetti alla pinoli

Bahannya:



320 gram udang segar


40 gram cili kering

4 ulas bawang putih dimayang

40 gram kacang pinus panggang

80 gram cendawan butang dihiris

20 gram daun parsli Itali

40 mililiter air rebusan kepah

160 mililiter minyak zaitun untuk menggoreng

Garam untuk perasa

Serbuk lada putih

480 gram pasta capellini



Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak zaitun untuk menggoreng, kemudian masukkan bawang putih dan tumis hingga naik bau.

2. Masukkan hirisan cendawan butang.

3. Masukkan cili kering dan kacau.

4. Kemudian, tambahkan kacang pinus panggang dan kacau sebati.

5. Masukkan udang dan masak hingga kemerahan, kemudian campurkan hirisan daun parsli Itali, kacau sebati.

6. Tuangkan air rebusan kepah ke dalam campuran bahan diikuti sedikit garam dan serbuk lada putih.

7. Biarkan mendidih sekejap, kemudian masukkan pasta yang dicelur selama seminit. Kacau sebati selama seminit.

8. Chef Mohd Adib menunjukkan hidangan mudah pasta cara Itali.



Tip chef:



Seeloknya, pasta yang digunakan disimpan di tempat sejuk untuk mengelakkan terdedah kepada udara dan menyebabkan teksturnya kering.


Gunakan hanya bahan segar terutama makanan laut, sayuran serta air rebusan untuk membuat pasta bagi mengelakkan rasa kurang enak.



Terima Kasih:

Resipi disediakan Chef Mohd Adib Hassan daripada restoran Favola, Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

petikan dari harian metro

Khamis, 17 Disember 2009

Kacang hijau untuk cantik

SIAPA sangka kacang hijau atau nama saintifiknya phaseolus radiatus L yang selama ini digunakan sebagai bahan masakan menjadi bahan utama membantu mendapatkan kulit yang lebih mulus, lembut dan berseri.

Antara kandungan bahan yang ada pada kacang hijau ialah protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosfor, vitamin dan vitamin B2.

Selain mencantik dan memulihkan kulit wajah daripada masalah kelesuan, kacang hijau turut digunakan dari segi membantu membuang angin serta melancarkan proses pelawasan badan.

Tanaman kacang hijau banyak diusahakan di sawah dan ladang yang bertanah lembap serta perlu mendapatkan sinar matahari secukupnya.












Tumbuhan perdu berbatang basah dan tingginya boleh mencapai tiga meter ini adalah tanaman pendek bercabang tegak.




Walaupun tidak ramai menggunakan kacang hijau sebagai bahan kecantikan, ia tidak menggentarkan semangat pengusaha pusat kecantikan Aura Wellness Spa, Sivananthan dan isterinya, Mithila Sathasivam untuk mengetengahkan produk berkenaan.

Proses rawatan menerusi spa muka Aura selama 45 minit itu menyediakan urutan wajah menggunakan minyak aroma selama 15 minit bagi menghilangkan ketegangan muka selepas seharian bekerja.

Seluruh wajah diurut menggunakan teknik tertentu bagi menghilangkan tekanan serta memberikan kesan kelegaan maksimum kepada pelanggan.

Kemudian proses sental wajah menggunakan kacang hijau mula dilakukan. Kacang hijau berkenaan dilumur ke seluruh wajah terlebih dulu dan dibiarkan selama 20 minit sebelum dibersihkan.

Wajah pelanggan juga akan diletakkan pupur pulut hitam selama 20 minit. Lapisan berkenan perlu disapu dengan jumlah yang banyak untuk mendapatkan kesan diingini.

Ketika ini pelanggan akan berasa kulit wajah mereka seolah-olah digigit semut kecil, bagaimanapun ia tidak memudaratkan dan berlanjutan hingga pupur berkenaan kering sepenuhnya.

Spa muka berkenaan lain daripada yang lain menerusi bahan yang digunakan manakala harga ditawarkan juga amat berpatutan iaitu RM48.

Semua produk yang digunakan dalam setiap rawatan disediakan spa berkenaan menggunakan bahan semula jadi daripada jenama Tanamera yang tidak memberikan sebarang kesan memudaratkan kepada pelanggan.

Mithila berkata, selain rawatan wajah menggunakan kacang hijau, pusat kecantikan itu turut menyediakan rawatan urutan untuk ibu lepas bersalin secara tradisional yang diubah mengikut keperluan pengguna masa kini.

Malah tukang urut disediakan juga memiliki kepakaran yang diiktiraf kerana sudah menghadiri kursus diperlukan bagi memperoleh sijil melakukan rawatan berkenaan.

Menurutnya, walaupun digabungkan dengan cara moden untuk melakukan rawatan urutan lepas bersalin, ia tidak sedikit pun mengubah perkara asas yang perlu dilakukan terhadap ibu lepas bersalin.

"Kami masih mengikut cara lama walaupun kaedah digunakan berlainan kerana pantang larang lepas bersalin masih sama dan ia wajar diikuti untuk kebaikan wanita berkenaan.

"Jangan memandang remeh perkara ini kerana ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan diri pada masa depan," katanya ketika ditemui di pusat kecantikan berkenaan di No 11-1, Jalan Remia 4, Bandar Botanic, Klang, Selangor baru-baru ini.

Antara pakej rawatan lain disediakan ialah spa Aura Tradisional Boreh berharga RM98 selama satu jam 30 minit serta spa pengantin Aura yang boleh dicuba pasangan bakal raja sehari bernilai RM198 untuk tiga jam rawatan.

Selain itu, spa terbabit turut memberikan potongan harga sehingga 50 peratus kepada pelanggan yang membuat rawatan pada setiap Ahad.



Info:



Kacang hijau antara makanan berkhasiat tinggi. Bagi individu yang sedang berdiet, kandungan lemak dalam kacang hijau dapat membantu usaha mereka.


Kacang hijau mempunyai kandungan lemak yang rendah. Kadar lemak rendah itu menyebabkan bahan makanan atau minuman yang dibuat daripada kacang hijau tidak mudah tengik. Selain itu, kacang hijau tidak mengandungi lemak tepu yang dipercayai baik untuk kesihatan jantung.


Zat gizi kacang hijau membantu menangani beberapa masalah termasuk anemia (kurang sel darah merah), mencuci perut, mengubat gangguan hati dan melancarkan pembuangan air besar.


Protein dan zat besi yang tinggi dalam kacang hijau membantu tumbesaran seseorang terutama kanak-kanak.


Dalam kes diabetes, kacang hijau membantu meningkatkan penggunaan glukos dalam badan. Menurut kajian makmal di Mysore, India, pesakit kencing manis kronik yang memerlukan insulin 40 unit sehari, menunjukkan penurunan ke atas keperluan insulin menjadi 20 unit sehari apabila diberi diet mengandungi ekstrak kacang hijau.

Kajian menunjukkan perubahan ketara ke atas kandungan glukos darah, toleransi glukos dan keadaan umum pesakit. Kacang hijau juga berkhasiat untuk membantu melegakan kembung perut dan kencing tertahan.


Kacang hijau juga dikenali sebagai makanan penyahtoksik bersifat sejuk dan penawar toksik yang berkesan sejak dulu.

Ia membantu untuk menawarkan logam berat, ubat pertanian dan pelbagai racun dalam makanan. Ia dapat mempercepatkan penguraian bahan bertoksik dalam badan untuk dibuang keluar.


Petua orang tua bagi menghilangkan urat timbul di kaki turut menggunakan kacang hijau. Hanya ambil segenggam kacang hijau lalu direbus tanpa gula dan jangan hancurkan.


Makan pada waktu pagi dan malam. Selain itu, setiap kali hendak tidur, angkat kaki ke atas setinggi mungkin dengan menyandarkan badan pada dinding selama 10 minit. Selepas itu barulah tidur.


petikan dari harian metro

Khamis, 10 Disember 2009

Lima kesilapan kewangan

Hampir semua orang pernah melakukan kesilapan berhubung isu wang. Ketahuilah beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh kebanyakan ibu bapa ketika mendidik anak tentang kewangan dan cara membetulkannya. Berikut adalah antara kesilapan yang kerap dilakukan ibu bapa.




1. Menjadi mesin pengeluar wang versi manusia

Menguruskan segala urusan jual beli anak membuatkan anda kelihatan seperti menjadi mesin pengeluar wang versi manusia. Sepatutnya, berikan anak elaun dan ingatkan mereka untuk membuat pembayaran bagi apa-apa yang ingin mereka miliki. Sama ada untuk membeli buku dari kedai atau mendapatkan barangan permainan kegemaran, anak seharusnya bijak membuat pembayaran sendiri. Tindakan itu boleh mengurangkan mereka daripada merungut sekali gus membolehkan mereka mengasah kemahiran mengira atau matematik. Menerusi cara itu juga, anak-anak boleh belajar daripada kesilapan mereka. Dengan membuat pembayaran sendiri, anak-anak akan lebih menghargai barangan yang diperoleh atau dibeli.

2. Terlepas pandang pengajaran harian

Jangan lepaskan peluang untuk berbincang dengan anak tentang isu-isu berkenaan ekonomi yang ringkas dalam persekitaran berbeza setiap hari. Sewaktu membeli-belah, ibu bapa boleh menerangkan mengapa tindakan memilih bungkusan produk berkos lebih rendah lebih baik. Terangkan juga mengapa menambah stok barangan dapur ketika musim jualan murah merupakan satu tindakan yang baik. Berikan penjelasan kepada anak bahawa dengan menjimatkan RM10 setiap minggu, jumlah yang dijimat dalam tempoh sebulan boleh mencecah RM40 atau sekitar RM480 setahun.






3. Tidak melibatkan anak dalam matlamat jangka masa panjang

Pengurusan wang yang kukuh melibatkan dua perkara penting. Pertama, membuat perancangan awal dan kedua, membuat pilihan. Jika anda merancang sebuah percutian, beritahu anak tentang isu bajet yang melibatkan kos tiket penerbangan, hiburan dan penginapan. Andainya terdapat duit kecil, masukkan wang tersebut ke dalam bank dan tunjukkan kepada anak bagaimana duit itu bertambah.

4. Terlepas peluang untuk memberi anak motivasi tentang tabiat menabung

Jika ada peluang, tunjukkan kepada anak bagaimana sesuatu pelan kewangan berfungsi dan mengapa sumbangan atau tabungan wang yang sedikit adalah penting dalam jangka masa panjang.

5. Tidak menerangkan bagaimana kad kredit berfungsi

Seorang pelajar firma pinjaman wang, Nellie Mae pernah menganggarkan, purata hutang yang ditanggung oleh seseorang pelajar universiti ialah sekitar RM5,000. Jumlah tersebut berkemungkinan besar berganda apabila mereka tamat pengajian di menara gading. Dari situlah bermulanya satu masalah sebenar. Anak remaja yang gagal memahami atau menguruskan hutang kad kredit seawal usia 18 tahun, lebih cenderung berdepan dengan masalah besar di kemudian hari. Benarkan anak berlatih menggunakan kad pra-bayar atau kad debit terlebih dahulu. Kad-kad seperti itu menawarkan kemudahan bagi menetapkan had tunai mingguan yang terhad. Ibu bapa juga boleh mendapatkan status penggunaan wang itu menerusi e-mel dan menentukan sama ada perlu atau tidak perbincangan lanjutan untuk mendidik anak agar mereka lebih berhemah ketika berbelanja.


petikan dari kosmo

Jika pasangan curang

PESONA

Jika pasangan curang




JIKA berlaku sebarang masalah dalam perhubungan seperti kehadiran orang ketiga, kesalahan sering diletakkan di atas bahu pasangan kerana sanggup menduakan anda. Sedangkan, anda sudah memberikan yang terbaik dalam perhubungan.

Ungkapan seperti 'apa salah saya', 'tidak cukupkah selama ini' dan 'apa yang kau mahu lagi,' sering dilontarkan ketika berlaku perbalahan dalam perhubungan suami isteri atau pasangan kekasih.

Namun, sedarkah anda bahawa sebahagian punca berlakunya kecurangan itu datang daripada diri anda sendiri. Kebiasaannya, pasangan pula tidak mampu untuk berterus-terang.

Hakikatnya, apabila timbul masalah seperti pasangan curang, anda tidak perlu memberontak. Sebaliknya, cuba atasi perasaan dan selesaikannya dengan cara terbaik. Tindakan mencaci dan memaki pasangan akan menambahkan lagi kekusutan perhubungan.

Minggu ini, Kosmo! memberikan beberapa tip untuk berhadapan dengan masalah pasangan yang curang.

1-Terima dengan tenang: Apabila mengetahui si dia curang, anda pasti akan berasa sedih dan mungkin melakukan perbuatan di luar kawalan. Sebaiknya, cuba selidik sama ada ia benar-benar berlaku atau hanya anda yang terlebih cemburu.

2-Cuba berbincang: Jika ia benar, cuba ajak pasangan berbincang dan tanya kenapa dia bertindak sedemikian. Jangan pula menjadi terlalu emosi sehingga memaki pasangan. Tarik nafas dalam-dalam apabila anda berasa terlalu marah.

3-Bermuhasabah diri: Anda perlu ingat musibah yang berlaku diturunkan oleh Tuhan. Ia adalah sebagai dugaan kita di muka bumi. Mungkin ia sebagai balasan terhadap sesuatu yang pernah anda lakukan dahulu atau sebagai satu cara Tuhan menguji kita.

4-Dekatkan diri kepada Tuhan: Tidak kira apa jua kepercayaan anda, dekatkan diri dengan Tuhan. Ia mampu memberikan ketenangan yang sejati. Berdoalah supaya musibah yang melanda berakhir seperti yang anda ingini.

5-Cari teman untuk berkongsi masalah: Masalah perlu dikongsi dan jangan dipendam kerana ia hanya memburukkan keadaan. Anda juga akan menjadi lebih muram serta tidak mampu melakukan tugasan harian jika terus menyembunyikan masalah yang sedang dihadapi.

6-Kenali kekurangan diri: Percaya atau tidak, anda merupakan sebahagian daripada punca kecurangan. Mungkin anda seorang yang perengus, kuat membebel, tidak hormat kepada pasangan, tidak suka memasak, pemalas atau pengotor. Kenang kembali saat pertama anda bertemu pasangan dan mengapa dia tertarik kepada anda. Mungkin tarikan itu telah hilang. Cuba lihat pada diri sendiri dan cari apa yang disukai oleh pasangan.

7-Cuba perbaiki diri: Ubah segala kekurangan diri. Jangan terlalu memaksa dan cuba buktikan bahawa anda layak untuk disayangi. Tidak salah anda berubah demi kebahagiaan keluarga.



8-Tumpukan perhatian terhadap keluarga: Mungkin anda mengabaikan keluarga dan pasangan. Sebab itulah, mereka mencari kebahagiaan di luar. Luangkan masa hujung minggu dengan sebaiknya seperti melakukan aktiviti riadah atau makan malam bersama. Libatkan seluruh keluarga dalam proses tersebut.

9-Lakukan aktiviti: Apabila terlalu runsing, ramai yang memilih untuk menyendiri. Sebaiknya, sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membuatkan anda terlupa seketika masalah yang dihadapi. Bagus juga jika anda dapat meluangkan sedikit masa di pusat kecantikan atau spa untuk menghilangkan tekanan.

10-Dapatkan nasihat pakar: Jika masalah berpanjangan dan penceraian mungkin berlaku, dapatkan nasihat pakar dan ajak pasangan menghadiri sesi kaunseling. Demi kebaikan keluarga, berdamai adalah jalan terbaik untuk dilakukan.


petikan dari KOSMO

beriani gam ala EQ

Bahannya (untuk sajian 10 orang):
2 cawan beras Basmati
500 gram ayam dipotong kecil
1/2 cawan susu
1 cawan yogurt
3 ulas bawang
1 sudu halia (dikisar)
1 sudu bawang putih dikisar
1/2 cawan tomato puri
1 sudu serbuk cili hijau
1 sudu serbuk jintan yang disangar
2 sudu serbuk masala
300 gram serbuk buah pelaga hijau
Secubit safron
1 sudu serbuk ketumbar
2 sudu daun ketumbar
7 sudu minyak sapi
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:
1. Campurkan tomato puri, yogurt, pes halia, pes bawang putih, serbuk cili hijau, serbuk kunyit, serbuk jintan, serbuk masala dan garam. Kacau sebati.
2. Perapkan ayam dengan bahan terbabit dan ketepikan selama tiga ke empat jam.
3. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang hingga keemasan dan naik baunya.
4. Masukkan ayam yang sudah diperap dan masak selama 10 minit.
5. Tambah empat cawan air ke dalam beras. Kemudian campurkan safron dan susu
6. Campurkan serbuk buah pelaga dan ayam.
7. Masak nasi pada tekanan suhu tinggi dan kacau.
8. Hiaskan dengan daun ketumbar dan hidang ketika panas.


Petikan dari harian metro

Murung cabang penyakit jiwa

SESIAPA saja boleh mengalami masalah kemurungan tidak mengira usia, jantina atau bangsa malah kanak-kanak seawal usia lima tahun juga boleh mengalami kemurungan cuma simptom mereka berbeza daripada orang dewasa.

Bagaimanapun, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi daripada lelaki kerana mereka lebih bersikap tanggungjawab dan mengambil tahu setiap perkara secara mendalam.

Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, berkata pesakit yang mengalami masalah kemurungan akan hilang keyakinan diri, berasa rendah diri serta hidup dalam dunia mereka sendiri.

Menurutnya, jika tidak dirawat segera penghidap masalah kemurungan akan berasa dunia mereka seolah-olah tamat di situ saja dan ini menyebabkan banyak kejadian bunuh diri berlaku.










"Disebabkan itu, mereka perlu mendapatkan rawatan pakar selain ubat-ubatan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.




"Ini disebabkan kemurungan bukan kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak yang memerlukan rawatan perubatan dengan segera," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Antara sebab wanita lebih kerap berdepan dengan kemurungan ialah perubahan peringkat hormon yang dialami sepanjang hidup mereka terutama selepas mengalami haid, hamil, selepas bersalin, pramenopaus dan putus haid.

Hormon dalam badan akan berubah sepanjang tempoh kehidupan dan wanita paling banyak mengalaminya. Ia sedikit sebanyak memberi banyak tekanan dalam kehidupan seharian mereka.

Selain itu katanya, tekanan atau stres melampau juga boleh mendorong ke arah kelainan ini. Kadangkala kemurungan boleh berlaku walaupun kehidupan individu berkenaan sihat dan normal.

Antara penyebab tekanan termasuklah penat dalam usaha untuk mengimbangkan antara tugasan di rumah dan tempat kerja, mempunyai pekerjaan yang berat dan membebankan, status ibu atau bapa tunggal, masalah kewangan serta perceraian ataupun kematian pasangan hidup.

"Oleh itu, keseimbangan dalam melakukan kerja harian amat perlu untuk mengelakkan tekanan dihadapi dan lakukan perkara itu setakat termampu. Jangan memaksa diri melakukan perkara di luar kemampuan diri," katanya.

Namun begitu katanya, penyakit kemurungan juga boleh diwarisi sekiranya ada sejarah kemurungan dalam keluarga.

"Bagaimanapun sekiranya mengamalkan gaya hidup sihat serta tidak terlalu bercita-cita tinggi hingga sukar digapai dan menyebabkan kekecewaan, maka ia satu cara hidup yang ringkas tanpa sebarang bebanan," katanya.

Malah ramai beranggapan seseorang itu gila jika berjumpa pakar psikiatri walaupun sebenarnya banyak masalah mental yang tidak ada kaitan dengan gila dan tidak kurang juga yang menganggap kemurungan sebagai masalah biasa.

Menurutnya, faktor kemurungan boleh berpunca daripada pelbagai sebab seperti kematian anggota keluarga, putus kasih, perceraian, krisis ekonomi dan bebanan di tempat kerja serta akibat penyakit kronik.

Biasanya pesakit yang mengalami masalah kemurungan akan hilang minat terhadap perkara yang menggembirakannya. Mereka juga berasa tidak fokus, mengasingkan diri, hilang selera makan atau gangguan tidur dan kurang memberi tumpuan terhadap kerja.

Dianggarkan terdapat 300 jenis penyakit tergolong dalam penyakit psikologi dan kemurungan adalah satu cabang daripada penyakit jiwa.

Penyakit kemurungan boleh memberi kesan kepada tubuh badan dan kehidupan sosial penghidapnya kerana ia satu penyakit yang menyebabkan seseorang individu berada dalam keresahan dan kegelisahan secara berterusan tanpa sebarang sebab munasabah.

Malah jika tidak ditangani secara rasional, masalah kemurungan ini boleh melarat kepada perkara lebih buruk hingga menjejaskan kesihatan diri individu itu sendiri.

Ia sebenarnya penyakit keempat di dunia yang paling berpotensi menyebabkan ketidakupayaan individu dari segi sosial kerana kebanyakan daripada penghidap masalah ini lebih gemar menyendiri tanpa bergaul dengan sesiapa.


Simptom kemurungan:



Kesedihan atau 'kekosongan' perasaan yang berpanjangan.

Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.

Mudah berputus asa.

Perasaan bersalah dan tidak berguna.

Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur.

Hilang selera makan dan penurunan berat badan.

Berperasaan lebih baik mati, kadangkala disertai dengan cubaan bunuh diri.

Rasa tidak tenteram dan mudah marah.

Kurang daya tumpuan, sukar membuat keputusan.

Antara tip yang boleh digunakan untuk mengelakkan masalah kemurungan:

Amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam secara teratur serta mengambil pemakanan seimbang.

Dapatkan tidur mencukupi kerana tidur adalah elemen rehat paling penting untuk tubuh serta minda supaya dapat kembali bertenaga secara fizikal dan mental keesokan harinya.

Elak bersendirian serta luangkan masa bersama keluarga.

Petikan dari harian metro

Rabu, 2 Disember 2009

Ikan Terubuk Asam Pedas

Ikan Terubuk Asam Pedas (untuk hidangan 6 orang)

Bahan-bahannya:

1 kilogram - ikan terubuk

100 gram - minyak masak

200 gram - bawang besar

50 gram - halia

50 gram - bawang putih

100 gram - cili kering

20 gram - belacan

20 gram - asam keping

30 gram - serbuk/kiub ayam

30 gram - garam

400 gram - kacang bendi

30 gram - daun kesum

50 gram - bunga kantan



Cara-cara membuatnya:

- Ikan terubuk dibersihkan dan dipotong-potong.

- Kisar halus bahan tumisan.

- Panaskan minyak dengan api sederhana. Tumiskan bahan tumisan hingga terbit minyak.

- Panaskan minyak dan daun kari hingga garing. Kemudian masukkan bahan kisar.

- Masukkan air asam jawa dan air. Biarkan hingga mendidih dan masukkan daun kesum serta bunga kantan.

- Masukkan bahan perasa dan akhir sekali masukkan bendi.

- Akhir sekali masukkan ikan

petikan dari harian metro

Sajian udang tumis dan sayur campur

Udang tumis


Bahannya (hidangan empat orang):

500 gram udang saiz sederhana (dikupas kulit)

2 sudu besar minyak masak

Bahan A:

4 biji bawang merah

24 ulas bawang putih

1 tangkai cili merah


12 gram Maggi CukupRasa


1/2 sudu teh serbuk lada



Cara penyediaan (masa penyediaan dan memasak - 20 minit):

1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis semua bahan A hingga wangi.

2. Masukkan udang, Maggi CukupRasa, serbuk lada dan masak selama dua minit.

3. Hidangkan ketika panas.



Petua:


Makanan laut mengandungi semua sembilan asid amino penting untuk memenuhi keperluan protein harian kita.



Sayur campur



Bahannya (hidangan untuk empat orang):


2 sudu besar minyak masak



Bahan A:


12 gram Maggi CukupRasa


100 gram bunga kubis (dipotong kecil)


1 batang lobak merah (dipotong bunga)


4 tangkai putik jagung (dihiris)


3 tangkai kacang panjang (dipotong 3 sentimeter)


1 keping tempe (didadu dan digoreng hingga masak)


2 sudu besar air



Cara penyediaan (masa penyediaan dan memasak - 15 minit)

1. Panaskan minyak masak, masukkan semua bahan A dan tumis antara tiga hingga lima minit hingga sayur masak.

2. Hidangkan ketika panas.



Petua: Untuk sajian seimbang, hidangkan dengan nasi dan masakan daging.


petikan dari harian metro