Oleh DR NIZAR ABDUL JALIL
Pakar Bius dan Kesakitan Kronik, Hospital Universiti Sains Malaysia
Sindrom miofasia (myofascial pain syndrome) adalah kesakitan kronik membabitkan otot rangka dan fasia (tisu perantara). Rasa sakit biasanya membabitkan dua atau tiga kumpulan otot yang berdekatan dan amat sakit apabila dipicit.
Kesakitan kronik ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan tapi tempat biasa adalah di otot leher, belakang, pinggang, punggung dan dada.
Kenapa anda perlu tahu sindrom miofasia? Penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai gejala klinikal yang pelik. Salah satu gejala utamanya ialah ia menyerupai penyakit serius yang lain. Salah faham selalu berlaku di kalangan pesakit dan doktor.
Anda mungkin pernah cuba mendapatkan rawatan tukang urut. Jika tukang urut berkata ada ‘ketulan’ pada otot anda yang amat sakit bila dipicit, anda mungkin mengalami kesakitan sindrom miofasia ini.
Kajian di seluruh dunia mendapati kadar kelaziman penyakit ini agak tinggi iaitu antara 20 hingga 90 peratus di kalangan pesakit yang mengalami gejala sakit otot dan tulang.
Dalam kajian yang dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) baru-baru ini, kadar kelaziman penyakit ini di kalangan penghidap kesakitan tulang belakang yang kronik adalah 63 peratus dan 37 peratus di kalangan individu yang mengalami sakit belakang pinggang yang kronik.
Ia dinamakan 'sindrom' kerana diagnosisnya dibuat berdasarkan koleksi gejala klinikal seperti;
Sakit pada satu kumpulan otot yang agak lama/kronik.
Terdapat tempat tertentu dalam otot yang amat sakit apabila ditekan dengan jari. Pesakit sendiri dapat mencari dan menemukan tempat yang sakit ini. Anda akan ‘terlompat’ jika tempat ini dipicit atau ditekan.
Terdapat ketulan dalam otot yang dapat dirasai dengan jari
Bila tempat sakit ditekan, sakit dirasai menjalar ke tempat lain. Contohnya bila otot leher ditekan dengan jari sakit dirasai naik ke kepala dan pening.
Limitasi dalam julat pergerakan otot
Otot rasa lemah dan tidak bertenaga.
Ubat sakit urat (postan, voltaren celebrex) tidak berkesan.
Apa penyebab utama kesakitan sindrom ini?
1. Menggunakan atau menggerakkan otot yang sama berulang kali dan lama. Ini akan menyebabkan kecederaan otot mikroskopik berkali-kali secara kronik. Contohnya kerani yang sakit pada otot bahu dan leher kerana perlu mengangkat bahu berjam-jam semasa menulis.
2. Masalah perubatan yang sedia ada seperti penyakit hipotiroid, kencing manis, kekurangan darah merah.
3. Tidak bergerak dalam jangka masa lama.
4. Menggunakan otot melebihi hadnya. Ini juga akan menyebabkan kecederaan pada otot.
5. Disebabkan oleh kecederaan lain seperti cakera tergelincir, sakit sendi faset tulang belakang atau tengkuk, kepatahan dan sebagainya.
Kenapa kesakitan ini perlu diberi perhatian khusus?
Selain rasa sakit yang mengehadkan pergerakan, sindrom ini juga akan menjejaskan produktiviti dan kehidupan. Insiden penyakit ini amat tinggi terutama di zaman moden ini kerana kemodenan dan kemajuan menyebabkan skop kerja dan permainan manusia menjadi amat khusus.
Pengkhususan akan menyebabkan hanya sebilangan kecil otot dan anggota badan dikerah untuk bekerja atau bermain yang mendedahkan ia kepada kecederaan otot jika digunakan secara melampau.
Contohnya doktor gigi dan pengacara komputer akan mengalami sindrom miofasia pada otot bahu dan leher. Atlit bola lisut akan menghidap sindrom miofasia yang membabitkan otot bahu dan belikat. Malangnya gejala klinikal ini kurang dikenal pasti di kalangan doktor yang merawat kerana kurang pengetahuan.
Antara gejala utama penyakit ini ialah sakit yang dirasai menjalar ke tempat lain jika dipicit. Ini boleh menyebabkan kesilapan diagnosis klinikal jika doktor kurang arif dengan sindrom ini.
Sakit pada otot piriformis di bahagian punggung boleh merupai sakit cakera tergelincir pada tulang belakang kerana sakit dirasai berpunca dari pinggang dan menjalar turun ke kaki. Akibatnya pembedahan tulang belakang tidak berguna.
Contoh lain, sindrom miofasia otot scalene pada leher boleh menyerupai sakit cakera tergelincir pada leher kerana sakit dirasai bermula dari tengkuk dan menjalar ke tangan atau jari. Jari juga kadang–kadang berasa kebas. Sakit yang menjalar dalam sindrom ini seolah menyerupai sakit akar saraf yang berpunca dari cakera tergelincir pada tulang belakang.
Manakala kesakitan dari sindrom miofasia otot leher boleh menyerupai kesakitan berpunca dari cakera tergelincir pada tulang leher. Contoh lain, sakit sindrom miofasia otot subskapularis pada tulang belikat boleh menyerupai sakit jantung kerana pesakit akan merasa sakit dada dan sesak nafas.
Contoh gejala yang disebutkan diatas banyak saya temui dan rawat di klinik rawatan sakit kronik, HUSM. Banyak juga dikalangan pesakit yang dapat mengelak dari pembedahan yang tidak sepatutnya.
Pesakit yang menghidapi sakit sindrom miofasia pada otot leher mungkin akan mengalami gejala pening dan pitam. Kadang-kadang penglihatan jadi kabur. Ada pesakit yang mengalami gejala mudah sendawa dan loya.
Semua gejala ini boleh diaktifkan semula jika otot tertentu dipicit pada leher pesakit berkenaan. Gejala biasa ini boleh menyebabkan kesilapan dalam diagnosis dan selalu menyebabkan rawatan pesakit tersasar jika dirawat oleh doktor yang tidak tahu mengenai sindrom ini.
Kenapa pengetahuan mengenai sindrom ini masih kurang?
Sindrom miofasia pada asalnya dipelopori oleh pengamal perubatan alternatif kiropraktor Amerika Syarikat. Kemudian teori ini diterima dan diguna pakai pakar perubatan moden. Di Amerika Syarikat, kesakitan dari sindrom ini sudah lama diiktiraf dan diajar di sekolah perubatan tetapi di sini pengetahuan mengenainya masih kurang.
Rawatan
1. Senaman regangan dan kekuatan pada otot. Senaman ini mampu untuk meleraikan gumpalan otot yang menjadi punca kepada kesakitan yang dialami. Pesakit perlu belajar cara yang betul dari juru pulih anggota dan komited lakukannya secara berkala di rumah.
2. Rawatan fizikal seperti tuam dengan pek panas, teknik ultra bunyi atau gelombang pendek atau tidur atas tilam panas (boleh dibeli di farmasi atau agensi jualan langsung). Tujuannya untuk meningkatkan aliran darah setempat supaya banyak oksigen dan zat dapat dibekalkan dan toksin boleh dikeluarkan.
3. Suntikan pada tempat yang sakit. Teknik ini mampu menghilangkan sakit secara serta merta. Suntikan boleh dilakukan dengan ubat bius , air atau tanpa ubat.
4. Mengubah suai posisi, jangkamasa dan kaedah melakukan kerja harian. Tabiat kita yang tidak sihat juga boleh membawa kecederaan otot. Semuanya perlu di ubah untuk mengelak sakit ini tidak berulang.
5. Tidur yang nyenyak.
6. Ubatan. Ubat sakit urat (NSAID) seperti voltaren dan postan selalunya tidak akan berkesan. Ubat yang diperlukan selalunya yang bertindak pada sistem saraf pusat seperti, tramadol, ultracet dan oxycontin.
7. Kefahaman yang betul mengenai penyakit dan gejalanya. Ini penting kerana sindrom ini agak sukar di rawat jika pesakit tidak memberi kerjasama. Gejala yang berterusan yang mimik penyakit serius yang lain membuatkan pesakit rasa tidak puas hati. Inilah peranan yang patut dimainkan oleh doktor yang merawat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan